Rabu, Mac 03, 2010

KENALI RSM TD

1079294 PEGAWAI WAREN I MUSA BIN HARON
BAT BSD usasma (USA)

Beliau dilahirkan pada 17 September 1968 di Kampung Seberang Prai, Masjid Tanah, Melaka. Telah memasuki perkhidmatan Tentera Darat Malaysia pada 23 Jun 1989 dan seterusnya berkhidmat di Batalion Ketigabelas Regimen Askar Melayu Diraja. Disepanjang perkhidmatan, beliau telah menunjukkan sikap dedikasi dan ketekunan kerja yang tinggi dan berusaha dengan gigih untuk meningkat maju dalam kerjaya ketenteraan. Hasil dari kesungguhan dan dedikasi yang telah beliau tunjukkan, dalam tempoh 19 tahun beliau telah berjaya menyandang jawatan sebagai Rejimen Sarjan Mejar Tentera Darat. Pegawai Waren Satu Musa bin Haron telah memegang beberapa jawatan disepanjang tempoh perkhidmatan. Diantaranya adalah Lans Koperal/Koperal Tambor di 13 RAMD, Ketua Seksyen (BIS) di 13 RAMD, Penolong Ketua Platun di 13 RAMD, Penolong Jurulatih Pegawai Cawangan Ketua Platun di PULADA, Jurulatih Kawad di IPDA, Sarjan Mejar Rejimen Istiadat di 1 RAMD dan Sarjan Mejar Rejimen di PULADA. Pada tanggal 7 Julai 2008, beliau telah diberi kepercayaan dan mandat oleh pucuk pimpinan untuk menjawat jawatan Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat hinggalah sekarang.Kursus-kursus yang beliau telah hadiri di sepanjang tempoh perkhidmatan adalah Kadar Pasukan (13 RAMD), Asas Brass Band (PUZIDA), Ketua Seksyen (PULADA), Kawad dan Pentadbiran Sarjan Platun (IPDA), Platun Sarjan Decentralized (3 RAMD), Senjata Kecil PTT (PULADA), Penataran Jurulatih (PULADA), Kawad dan Pentadbiran Sarjan Mejar Kompeni (IPDA), Kawad dan Pentadbiran Pegawai Waren (IPDA), American Language Course dan U.S Army Sergeant Major di Texas, USA. Kesemua kursus.....KLIK (http://army.mod.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=37&Itemid=67)

Jumaat, Januari 15, 2010

Siswa UKM ulangi zaman gemilang Sudut Pidato

Oleh Hussain Said dan Norliza Abdullah
bhnews@bharian.com.my

BANGI: Izzat Fathi Hisham menyifatkan dirinya bertuah kerana menjadi pemidato pertama Sudut Pidato Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diaktifkan semula selepas diharamkan melalui Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) pada 1971. Pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi Fakulti Sains Sosial itu berkata, peluang berucap buat kali pertama di depan khalayak adalah penghargaan paling besar dalam hidupnya. Beliau yang berucap mengenai topik keusahawanan di kalangan pelajar, teruja kerana dapat meluahkan pandangan dan idea pada majlis paling bermakna dalam sejarah institusi pengajian tinggi negara.
Izzat Fathi yang pernah mewakili Kedah pada Pertandingan Debat Peringkat Kebangsaan pada 2006, berkata persekitaran debat untuk sudut pidato berbeza dengan perdebatan umum biasa. “Persekitaran di kampus menyuntik semangat berani, yakin dan bertanggungjawab untuk menyuarakan pandangan pelbagai isu semasa di dalam dan luar negara. “Saya berharap dengan sudut ini, lebih ramai pelajar tampil berkongsi pandangan dan melontar idea bernas untuk kebaikan bersama selain kritikal membina dalam memperkemaskan struktur pengurusan universiti,” katanya.
Izzat Fathi berkata demikian selepas perasmian Sudut Pidato, Teres Eko Niaga dan Pelancaran Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) UKM oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kampus UKM, semalam. Hadir sama Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Sudut pidato popular di kalangan mahasiswa pada era 1960-an hingga 1970-an sebelum ditarik balik selepas pelaksanaan Auku 1971. Februari tahun lalu, Kementerian Pengajian Tinggi menarik balik larangan itu menerusi pindaan Auku, tetapi sejak itu belum ada universiti melaksanakannya. Dilema sudut pidato turut menjadi fokus dalam Varsiti - sisipan terbaru Berita Harian pada edisi sulungnya, semalam. Difahamkan, Sudut Pidato terakhir adalah di Universiti Malaya.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Adlin Noramirah Mohamed yang turut diberi penghormatan berucap di pentas itu yakin sudut berkenaan menyuntik semangat di kalangan mahasiswa. “Selain menjadi pentas untuk pelajar menyampaikan pendapat mereka, sudut ini juga membolehkan pelajar menyuarakan perasaan mereka mengenai sesuatu isu, termasuk politik, ekonomi dan sosial,” katanya. Pemidato ketiga, Syamimi Ab Rahman, pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah Perundangan Islam yakin pelajar tidak menyalahgunakan pentas sehingga menyentuh isu sensitif atau memburuk-burukkan orang lain. Sementara itu, Tokoh Akademik Tan Sri Khoo Kay Kim, berkata kerajaan kini semakin liberal dan banyak memberi peluang kepada pelajar bersuara. “Kebebasan ini perlu dioptimumkan dengan kupasan isu bernas dan forum perbincangan sesama pelajar supaya mendapat gambaran jelas mengenai objektifnya,” katanya.

Sabtu, Januari 09, 2010

YBHG LT JEN DATUK RAJA MOHAMED AFFANDI BIN RAJA MOHAMED NOOR KETUA STAF MARKAS ATM YANG BARU


Tarikh: 16-11-2009


YBhg Lt Jen Datuk Hj Shahron bin Hj Ismail TUDM telah menyerahkan tugas kepada YBhg Lt Jen Datuk Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor dalam satu Majlis Serah Terima Tugas Ketua Staf Markas ATM di Bilik Teratai Kementerian Pertahanan pada 16 November 2009. Turut menyaksikan majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Ketua Staf Markas Angkatan Bersama dan Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan serta para Pegawai-pegawai Kanan dibawah naungan Markas ATM. Dalam majlis yang serba ringkas tersebut , YBhg Lt Jen Datuk Hj Shahron bin Hj Ibrahim TUDM telah menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang telah memberi sokong semasa beliau menerajui Markas ATM. Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada YBhg Lt Jen Datuk Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor yang telah dilantik sebagai Ketua Staf Markas ATM yang baru dan berharap sokongan padu yang telah diberikan kepadanya diteruskan agar Ketua Staf Markas ATM yang baru akan terus menerajui Markas ATM dengan cemerlang. Ketua Staf Markas ATM turut menyampaikan cenderahati kepada Lt Jen Datuk Hj Shahron bin Hj Ibrahim TUDM sebagai tanda kenangan dan terima kasih. Sebelum di lantik menjadi Ketua Staf Markas ATM, YBhg Lt Jen Datuk Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor adalah Panglima Medan Tentera Darat manakala Lt Jen Datuk Hj Shahron bin Hj Ibrahim TUDM akan meneruskan khidmatnya sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara.

Isnin, Januari 04, 2010

SELAMAT BERTUGAS KEPADA GURU-GURU SEMUA


MUSIM PERSEKOLAHAN UNTUK TAHUN 2010 SUDAH BERMULA, BERMACAM PERISTIWA DITAHUN 2009 DI TINGALKAN SEBAGAI KENANGAN YANG PENUH DENGAN PAHIT MANISNYA. PELAJAR YANG SENTIASA BERTUKAR SETIAP TAHUN DAN TEKANAN UNTUK MENCAPAI TAHAP GURU TERBAIK PERLU DILALUI OLEH SEMUA PENDIDIK DENGAN LEBIH RASIONAL, JANGAN TERLALU EMOSI.

Sabtu, Disember 19, 2009

Enjin jet TUDM hilang(APA SUDAH JADI ?)

GAMBAR fail pesawat F-5E
Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
Polis tahan empat orang, termasuk pegawai tentera


KUALA LUMPUR: Polis menahan empat orang, termasuk pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berhubung kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E milik TUDM bernilai kira-kira RM50 juta daripada Gudang Material Udara I (Matra I), Pangkalan Udara Kuala Lumpur ketika dibaik pulih pada akhir tahun lalu. Kehilangan enjin bersama rekod perkhidmatan dan penyelenggaraannya itu hanya disedari Januari tahun ini, dipercayai dijual kepada pihak tertentu di sebuah negara di Eropah.
Timbalan Pengarah I Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Noryah Md Anvar, berkata hasil siasatan berjaya mengenalpasti empat suspek, membabitkan orang awam dan pegawai pasukan itu. "Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghubungi kami awal tahun ini meminta bantuan menyiasat kehilangan peralatan itu yang dilaporkan berlaku di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.
"Berikutan itu, 18 individu dipanggil bagi membantu siasatan yang membawa kepada kejayaan mengenalpasti empat suspek terbabit, termasuk penjual dan pembelinya serta lokasi enjin itu dijual," katanya ketika dihubungi semalam. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti empat individu terbabit, selain lokasi sebenar enjin itu yang harganya dianggarkan hingga RM50 juta mengikut pasaran semasa. Namun, Berita Harian difahamkan enjin itu dijual kepada seorang pembeli di sebuah negara Eropah tetapi tidak dapat dipastikan tujuan penggunaannya. Noryah berkata, kehilangan enjin itu diklasifikasikan sebagai kes pecah amanah dan fail siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
TUDM mula menggunakan pesawat tempur enjin berkembar buatan Amerika Syarikat (AS) itu pada 1974 tetapi hanya enam unit masih digunakan, masing-masing model RF-5E Tigereye dan F-5E Tiger II yang berpangkalan di Butterworth. Difahamkan, khidmat pesawat itu pernah digantung beberapa tahun lalu berikutan cadangan menggantikannya dengan pesawat baru. Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, enjin yang masih berkeadaan baik itu dibawa dari Skuadron 12 Scorpion Butterworth ke Pangkalan Udara Kuala Lumpur dan sepatutnya diserahkan kepada satu daripada tiga kontraktor swasta yang dilantik kerajaan untuk penyelenggaraan. "Ia dipercayai dilakukan secara terancang dengan pembabitan orang dalam TUDM sendiri. Jika tidak, mana mungkin enjin sebesar itu, lengkap dengan 'after burner' (sistem turbo) boleh hilang dan melepasi kawalan keselamatan ketat pangkalan dengan mudah. "Taktik mereka memang licik dan berpengetahuan luas dalam hal berkaitan enjin pesawat tempur. Mereka tahu enjin itu tiada apa-apa nilai tanpa rekod perkhidmatan dan penyelenggaraan," katanya. Sumber itu memberitahu enjin jenis J-85 keluaran General Electric (GE) itu boleh dijual dalam bentuk set lengkap atau sebagai komponen alat ganti kepada pihak yang menggunakan model pesawat lama berkenaan. Selain Malaysia, model itu masih digunakan oleh Singapura, Indonesia dan beberapa negara di timur tengah serta Eropah. Difahamkan, kejadian itu menyebabkan rombakan kecil dalam TUDM, terutama di Markas Logistik yang turut menyaksikan beberapa pegawai dan anggota dipecat. Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperketatkan prosedur dokumentasi dan memperincikan proses audit dalaman setiap aset miliknya bagi membendung penyelewengan peralatan. Beliau berkata, kegiatan yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan itu dipercayai berlaku sejak beberapa tahun lalu dan dilakukan secara terancang hingga sukar dikesan. "ATM memandang serius kerana ia juga mencemarkan imej pasukan. Justeru, tindakan segera sudah diambil untuk mengatasinya bagi memastikan kejadian tidak berulang," katanya. Beliau berkata, ATM bersikap terbuka dalam isu penyelewengan dan sentiasa mengalu-alukan pembabitan agensi berkaitan bagi menangani kes seumpama itu. "Jika polis atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mahu campur tangan, mengapa tidak kita benarkan jika ia boleh mendatangkan banyak kebaikan kepada pasukan dan negara. ATM mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat membantu siasatan, terutama dalam membongkar lebih banyak kes seumpama ini," katanya.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails