Rabu, September 02, 2009

PANGLIMA ATM BERSARA

Panglima Azam Tingkat Keselamatan Negara
KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin yang menyandang jawatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PATM) yang ke-17 pada Selasa, berazam untuk meneruskan kesinambungan rancangan yang diasaskan pemimpin Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdahulu dalam meningkatkan tahap keselamatan negara.
"Perkara yang penting adalah berkenaan pembangunan meningkatkan kredibiliti ATM selain memperbaiki tahap keselamatan negara ke tahap yang terbaik, sehingga rakyat berasa dilindungi dengan baik dan dapat hidup aman di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara penyerahan tugas antara beliau dan bekas PATM Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal, di Kementerian Pertahanan di sini.
Azizan, 56, yang dilahirkan di Yan, Kedah pada 25 Okt 1952 menyertai perkhidmatan ATM pada 16 April 1971 dan memegang jawatan Panglima Angkatan Udara sejak 30 Okt 2006.
Azizan berkata penerusan usaha ke arah peningkatan keupayaan ATM dalam segenap aspek memerlukan komitmen yang konsisten serta bergerak dalam perkhidmatan sedia ada yang diterima pakai oleh ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara.
"Saya akan cuba sedaya upaya memegang amanah ini sebaik mungkin untuk mengendalikan ATM sepertimana menjadi aspirasi pucuk pimpinan negara. Saya akan mengendalikan tugas baru ini dengan begitu profesional untuk menentukan keselamatan negara dan kehormatan terus diperlihara," katanya.
Beliau berkata beliau akan menyampaikan amanat sulung kepada anggota ATM dalam satu upacara khas tidak lama lagi.
Mengenai lantikan beliau yang turut mencatat sejarah apabila buat pertama kali Panglima Tentera Udara dilantik menjadi PATM, Azizan menyifatkan perkara itu sebagai penghormatan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"Lantikan ini tidak disangka dan tidak dirancang, ia jadi sejarah baru kepada ATM dan TUDM. Ini suatu kebanggaan kepada TUDM yang diberi peluang dan penghormatan," katanya.
Terdahulu, Azizan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama oleh seramai 108 anggota termasuk tiga pegawai yang diketuai Mejar Ahmad Muzaimi Mohd Ali.
Majlis perpisahan kepada Abdul Aziz yang memegang jawatan PATM sejak 17 Jan 2007 turut diadakan.
Abdul Aziz yang telah berkhidmat selama 40 tahun dalam perkhidmatan ATM berkata beliau akan menghabiskan baki cutinya selama 61 hari dan akan mengikuti kursus peralihan wajib sebelum bersara sepenuhnya pada 31 Jan 2010.
-- BERNAMA

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails