Jumaat, September 04, 2009

PENCAPAIAN TERBARU DALAM ANGKATAN TENTERA

Anak kapal gembira jadi perintis
PELABUHAN KLANG 3 Sept. - Setelah berlayar 54 hari melibatkan perjalanan sejauh 6,000 batu nautika, 32 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tersenyum puas selain berasa bangga kerana menjadi anak kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman.
Mereka yang tiba di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah di sini pada pukul 8 pagi tadi menyifatkan perkhidmatan di atas KD Tunku Abdul Rahman merupakan pengalaman baru yang sukar dilupakan.
Bagi Leftenan Komander Chan Ling Ket, 31, beliau dapat merasakan kelainan ketika berkhidmat di atas kapal selam berbanding kapal biasa.
Ketua Pegawai Mekanikal di KD Tunku Abdul Rahman itu menambah, aktiviti di dalam kapal selam dirasakan agak 'lambat' kerana tidak boleh menjangka keadaan di luar kapal selam.
''Kapal selam berbeza kerana kita sepenuh masa berada di dalam air. Ketika berlayar, kita naik ke permukaan hanya dalam keadaan tertentu.
''Kita tidak tahu sama ada malam atau siang jika berada dalam kapal selam, yang menjadi petunjuk kita ialah waktu sahaja," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis menyambut ketibaan KD Tunku Abdul Rahman termasuk 32 anak kapal kira-kira pukul 8 pagi ini di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah di sini hari ini.
Seorang lagi anak kapal, Pegawai Waran II Fazuri Ishak, 37, yang bertugas sebagai Penyelia Torpedo memberitahu, sepanjang pelayaran pulang, dia dan anak kapal lain tidak mempunyai sebarang masalah daripada segi teknikal mahu pun fizikal.
Katanya, beliau telah didedahkan dengan pelbagai situasi ketika menjalani latihan bagi membolehkannya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.
Menurutnya, kapal selam tersebut mempunyai enam tiub torpedo yang boleh dilancarkan sekiranya diancam musuh.
''Bagaimanapun sepanjang pelayaran balik ke Malaysia, tiada keadaan yang tidak diingini berlaku,'' ujarnya.
Dalam pada itu salah seorang anak kapal selam berkenaan, Mohd. Nazri Kasmi, 36, memberitahu, situasi dalam kapal selam tersebut amat berbeza kerana mereka berada dalam ruang sempit bukan seperti kapal biasa.
''Jadi kita terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan dan ruang kerja di dalam kapal selam ini.
''Namun saya tetap bangga menjadi anak kapal pertama kapal selam negara. Saya percaya kemampuan saya ini adalah hasil doa serta sokongan daripada keluarga," katanya yang bertugas sebagai jurumudi.
Pegawai Keselamatan Dalam Kapal Selam, Leftenan Komander Mohd. Rasul Md. Sharif, 31, turut melahirkan rasa syukur kerana sepanjang pelayaran pulang ke Malaysia, tiada kejadian tidak diingini berlaku.
''Keadaan di dalam laut dan ketika kapal timbul juga baik, laut yang tidak bergelora turut menyumbang kepada pelayaran yang baik mengikut jadual," ujarnya.
Mohd. Rasul yang berasal dari Petaling Jaya dekat sini turut bersyukur dengan kepulangan tersebut kerana dapat bersama isterinya, Mejar Dr. Aida Zuriati dan anak mereka, Khatijah Umairah, 4, dan Umar Harith berusia satu tengah tahun

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails