Selasa, Oktober 06, 2009

Tentera mendukung aspirasi rakyat


Oleh AMIR SARIFUDIN


TAHAP disiplin yang tinggi dimiliki pasukan tentera negara ini menjadikan mereka pemegang 'amanah' bagi menentukan masa depan negara.
Dengan disiplin itu juga, kesetiaan warga tentera kepada negara dan pemerintah tidak pernah luntur atau berbelah bahagi.
Sikap setia dimiliki tentera menjadikan kedaulatan yang dipupuk sejak puluhan tahun lalu sentiasa teguh walaupun generasi warga tentera silih berganti sama ada bersara, terkorban dan sebagainya.
Sejarah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperlihatkan jasa demi jasa terus disumbangkan sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
Penubuhan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada Mac 1933 yang bermula di Port Dickson yang kini diisytiharkan sebagai Bandar Tentera Darat cukup sinonim dengan sumbangan dan peranan warga tentera sendiri.
Semuanya dapat dilihat bahawa peranan warga tentera itu bermula di Port Dickson.
Sama ada ia melibatkan perjuangan menentang pendudukan tentera Jepun, melawan pengganas komunis dan banyak lagi, semuanya ada kaitan depan Bandar Tentera Darat.
Ekoran itu, perjuangan dan pengorbanan anggota tentera dilihat terus berkembang dengan kewujudan kem-kem dan pusat latihan tentera di seluruh pelosok negara hinggalah ke Sabah dan Sarawak setelah bermula di Port Dickson
Bermula dari situlah, peranan tentera bukan sahaja melibatkan penjagaan keamanan dan keselamatan negara, malah menjangkau lebih luas membabitkan isu kemanusiaan.
Selalunya orang sering mengaitkan tentera dengan peperangan.
Namun bagi ATM, ia adalah sebuah pasukan yang sentiasa menitikberatkan kedaulatan dan keamanan sejagat.





Ini dapat dilihat berikutan pelbagai peranan yang dimainkan oleh warga tentera dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan.
Terbaru, ATM melalui cabangnya telah mengadakan penerbangan ihsan membawa pulang rakyat Malaysia melibatkan pelajar universiti yang terperangkap di Padang, Sumatera ekoran gempa bumi di sana.
Keadaan ini menyaksikan bahawa walaupun ada rakyat Malaysia tinggal di luar negara, namun nasib mereka sentiasa dibela oleh tentera Malaysia yang mendukung aspirasi kerajaan pemerintah.
Tindakan pantas ATM menghantar pesawat tentera dilihat sebagai satu langkah tepat sesuai dengan kesiapsiagaan diamalkannya.
Menghantar pesawat untuk penerbangan ihsan termasuk bantuan ubat-ubatan bukanlah satu perkara baru. Sebaliknya ia telah diamalkan sejak dulu lagi termasuk ketika tsunami di Banda Aceh, Indonesia.
Banyak lagi sumbangan kemanusiaan daripada warga tentera termasuklah ketika tragedi tanah runtuh dan bangunan runtuh di Bukit Antarabangsa serta Highland Towers.
Tragedi-tragedi yang menimpa rakyat Malaysia itu memperlihatkan tentera menggerakkan segala aset dimiliki termasuk modal insan, kepakaran, jentera berat dan sebagainya.
Begitu juga apabila berlaku sesuatu peristiwa seperti menularnya virus nipah yang dibawa oleh babi satu ketika dulu, anggota-anggota tentera sanggup mengorbankan keselamatan diri bagi memusnahkan haiwan terbabit walaupun mengetahui risikonya amat besar.
Pengorbanan warga tentera ini tidak terhad kepada masyarakat negara ini, malah di negara-negara luar seperti Somalia, Lebanon, Mindanao dan banyak lagi.
Langkah ATM meletakkan anggota-anggotanya di persada dunia memperlihatkan tentera Malaysia prihatin terhadap keamanan sejagat.
Selain menjaga keamanan, tentera Malaysia turut menghulurkan sumbangan sedaya mampu termasuk dari segi perubatan.
Kerana sumbangan besar mereka ini, kerajaan tidak pernah meminggirkan nasib warga tentera, keluarga mereka mahupun anggota yang telah bersara.
Kebajikan mereka ini sentiasa dijaga kerana tentera dianggap tonggak keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails