Selasa, November 16, 2010

SALAM AIDILADAHA BUAT PALAPES UKM


Allah SWT berfirman: “dan berdoalah dan berkorban,” dan “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda ketakwaan hati.” (Al-Hajj, 32) Hadis Riwayat At-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang).”
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama, termasuk sahabat besar seperti Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Ibn Mas’ud RA berpendapat ia WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.
Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim bahawasanya: “Barang siapa yang ingin menyembelih (berkorban), dan sudah masuk 10 awal Zulhijjah, maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban dilaksanakan.” (Muslim, 3/39)
Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.
Bagaimanapun, ia tidak termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah RA pernah meriwayatkan beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan korban.
Aisyah RA menyebut bahawa tiadalah Rasulullah SAW mengharamkan apa- apa (ketika menunggu masa untuk menyembelih) hinggalah sampai waktu sembelihan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan kewajipan lain. Tidak dibenarkan berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang disembelih dari pasar, lalu disedekahkan atas niat korban.
Tatkala itu, ia dianggap sedekah biasa saja dan bukan korban yang disyariatkan pada hari raya Aidiladha.
Pahala korban jauh lebih hebat daripada bersedekah harganya saja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.
Firman Allah SWT: “Daging unta dan darahnya sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj, 37)
Untuk melakukan korban, binatang yang sebaik-baiknya ialah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri dan kambing.
Dalam menentukan pembahagian daging ini, daging korban yang dilapah perlu dibahagikan satu pertiga kepada individu yang berkorban, satu pertiga kepada fakir miskin, jiran serta saudara mara dan selebihnya satu pertiga kepada sesiapa yang memintanya.
Ini berdasarkan firman Allah SWT bahawasanya: “Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan fakir,” (Al-Haj, 28) dan ayat ke-36 surah Al-Haj: “Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya.”
Bagaimanapun, dilarang memberi upah kepada tukang lapah dan penyembelih atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal).
Namun, ia ‘harus’ jika termasuk daripada kalangan fakir miskin atau diberi secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.
Malah, daging korban juga tidak dibenarkan dijual sebagaimana dipersetujui majoriti ulama.
Selain daripada itu, dalam menentukan syarat sah korban, sesebuah organisasi atau syarikat tidak boleh mengeluarkan perbelanjaan dan menyembelih korban atas nama syarikat.
Ini adalah kerana korban mesti dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu, dan semestinya bukan untuk organisasi yang bukan manusia.
Dalam melaksanakan korban ini, Rasulullah SAW menamakan hari sembelihan, iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih: Ibn Qayyim dan Albani). Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya apa itu Haji Akbar, beliau menjawab: “Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama).” (Riwayat At-Tirmidzi)
Menurut Ulama, itulah yang dimaksudkan dalam ayat surat At-Taubah tetapi sesetengah ulama lain membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah.
Sesetengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas RA dan Ibn Umar RA yang menyatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa.
Ia juga disebut oleh Imam Al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan.
Namun, ada sahabat mengatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat, manakala Saidina Ali pula mengatakan ia hari korban pada 10 Zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wukuf di Mina (hari Tasyrik).
Akhirnya, perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya Aidiladha menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia (kecuali jika benar-benar sesebuah negara itu mengikut rukyah).

Bekas anggota tentera, isteri dicari


Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL




KUANTAN – Polis semalam mengedarkan gambar seorang bekas anggota tentera dan isterinya, seorang remaja berusia 17 tahun, bagi membantu siasatan kes serangan ke atas sebuah keluarga di Flat Alor Akar, Lorong Alor Akar di sini Jumaat lalu.
Polis memohon bantuan orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana pasangan itu berada supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-5132222 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Lelaki yang dicari itu merupakan seorang bekas anggota tentera, Prebet Azli Che Mat, 30, memegang nombor kad pengenalan 801017-11-5163 atau kad pengenalan tenteranya, T/1128793.
Alamat terakhir bekas anggota tentera itu ialah di No. 143-B, Belukar Sukai, Kuala Terengganu, Terengganu.
Azli dikatakan melarikan diri daripada tugas sebagai anggota tentera pada 14 Januari 2003 ketika bertugas di Kem Sungai Udang, Terendak, Melaka.
Polis bagaimanapun belum dapat mengenal pasti dua lagi rakan kepada bekas anggota tentera itu yang didakwa turut bersama lelaki terbabit ketika serangan di rumah flat itu berlaku.

Rabu, November 10, 2010

PENUKARAN PANJI-PANJI 1 MELAYU DAN 8 MELAYU

Panji-panji rejimen
Oleh SYUKRI SHAARI





Dua pegawai pembawa panji-panji diiringi empat anggota berpangkat sarjan daripada Rejimen Tentera Darat mengarak panji-panji pada Istiadat Perarakan Panji-panji Rejimen Batalion Pertama (kiri) dan Batalion Kelapan RAMD sempena majlis penukaran panji-panji di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.
TANGGAL 2 November 2010 menjadi tarikh keramat bagi Batalion 1 dan 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) apabila Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pertukaran Panji-panji Rejimen bagi kedua-dua batalion itu.
Ia merupakan detik bersejarah bukan sahaja kepada RAMD tetapi juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana kali pertama istiadat seperti itu menggabungkan dua ketumbukan tentera.
Istiadat pertukaran itu menandakan sudah tiba masanya panji-panji lama bagi kedua-dua batalion itu disemadikan, bersama pelbagai kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh anggota pasukan tersebut dan memulakan semangat serta perjuangan baru.
Panji-panji menjadi simbol kekuatan, semangat juang, inspirasi serta kebanggaan kepada RAMD terutamanya semasa menjalankan tugas sama ada di dalam mahupun luar negara.
Acara yang penuh adat istiadat itu diadakan di Dataran Panglima Darat, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur dengan dihadiri 350 anggota Batalion 1 dan 8 RAMD bagi menjadi saksi permulaan era baru Panji-panji Rejimen bagi batalion tersebut seiring dengan perubahan persekitaran ketenteraan masa kini....BACA SETERSUNYA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails