Khamis, November 12, 2009

Lawatan Raja Muda Perlis naikkan semangat tentera



Oleh ZULHISHAM ISHAK






TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan isteri, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (kanan) tersenyum riang ketika bermesra dengan warga tentera yang mengawal Pulau Tabuwan, Sabah.


SEJAK Operasi Pandanan/Sipadan (Ops Pasir) diperkenalkan pada September 2000, negeri Sabah khususnya daerah di pantai timur kembali tenang daripada sebarang bentuk kekacauan khasnya yang melibatkan ancaman puak militan.
Operasi itu dilaksanakan selepas insiden penculikan 12 pelancong asing, lapan pekerja pusat peranginan dan seorang anggota polis oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf dari selatan Filipina di Pulau Sipadan dekat Semporna pada 23 April 2000.
Sejarah hitam itu menjadi igauan ngeri rakyat Malaysia khususnya di Sabah selain pernah mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap keselamatan pulau-pulau di negeri ini.
Selepas sembilan tahun operasi itu dilakukan, terbukti langkah tersebut merupakan satu strategi ketenteraan paling penting dan berkesan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Operasi itu sama pentingnya dengan Ops Balasah di hutan yang bersempadankan Kalimantan melalui enam pos Tentera Darat Malaysia (TDM) di Serudong, Kalabakan, Seliku, Bantul, Saliliran dan Long Pasia.
Dalam Ops Pasir, anggota-anggota tersebut ditempatkan di 22 buah penempatan TDM di 20 buah pulau dan tujuh lagi di penempatan TDM di pesisir pantai di daerah paling selatan di Sabah.
Tidak kira siang, malam atau berlangsung hari kebesaran atau sambutan perayaan, operasi tersebut akan diteruskan tanpa henti.
Ini termasuk ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Justeru bagi menghargai jasa mereka, sumbangan kuih raya akan dihantar setiap tahun bagi membolehkan mereka sama-sama menyambut hari lebaran itu.
Selain menerima sumbangan kuih raya, anggota keselamatan itu turut menerima lawatan tetamu di-raja, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda yang telah beberapa kali melawat kem-kem di Sabah sebelum ini telah memilih untuk melawat Kompeni Bot Tempur, Kem Azumi dan empat pulau iaitu Tabawan, Sibuan, Bohey Dulang dan Omadal tahun ini.
Turut mengiringi baginda ialah Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan dan Timbalan Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Asisten Komisioner Abdul Haddi Itam.
Kem Azumi, kira-kira setengah jam perjalanan dari Semporna dipilih sebagai destinasi pertama dan rombongan diraja itu disambut oleh Komander Kompeni Bot Tempur, Mejar Mohd. Roslaini Bujang.
Panas terik matahari, apatah lagi dalam bulan puasa tidak menghalang Tuanku Syed Faizuddin bermesra dengan anggota keselamatan yang dilihat begitu teruja dengan kehadiran baginda.
Kesempatan tersebut turut digunakan oleh Raja Muda Perlis itu untuk merakamkan gambar bersama anggota-anggota kem berkenaan.
Dari Kompeni Bot Tempur, baginda meneruskan lawatan ke Kompeni Charlie iaitu sebuah pos tentera di Pulau Tabawan, kira-kira satu jam perjalanan dengan menggunakan bot laju.
Keindahan batu karang yang boleh dilihat jelas dan pemandangan sekeliling yang mempersonakan pasti memukau pengunjung yang berkesempatan ke pulau berkenaan.
Bagaimanapun tidak terdapat sebarang penempatan atau kampung di pulau itu dan kewujudan pos tentera adalah kerana kedudukannya berhampiran dengan Filipina.
Anggota TDM di situ bukan sahaja melahirkan rasa terima kasih atas kunjungan tersebut malah menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan atas jasa dan sumbangan pasukan keselamatan.
"Inilah kali pertama saya menerima lawatan seorang Raja Muda ke pos keselamatan di mana saya sedang bertugas sejak menyertai angkatan tentera 13 tahun lalu.
"Ini bukti bahawa Tuanku prihatin dengan anggota keselamatan seperti kami yang bertugas di pulau-pulau," kata Staf Sarjan Amran Shafie, 38, dari Pasir Puteh, Kelantan.
Lans Koperal Azri Sabran, 26, dari Kota Tinggi, Johor yang tiga tahun tidak balik beraya pula berkata, lawatan Tuanku menyuntik rasa bangga beliau menjadi seorang anggota tentera.
Menurut Azri, kehadiran baginda menyebabkan mereka merasa sumbangan dan pengorbanan anggota keselamatan mempertahankan keselamatan negara dihargai.
Terpegun
Sementara itu di Pulau Sibuan, Raja Muda Perlis terpegun dengan perubahan masyarakat Pala'u yang tidak lagi tinggal di atas perahu sebaliknya sudah mendirikan rumah di atas air.
Pala'u dianggap oleh sesetengah pihak sebagai salah satu kaum pribumi Sabah yang majoritinya menjadikan perahu sebagai rumah dan melakukan semua kegiatan harian di situ.
Keletihan langsung tidak terbayang di wajah baginda meskipun tidak ada sebatang pokok pun yang memayungi perjalanannya.
Tuanku juga tidak melepaskan peluang bermain sepak takraw dengan penduduk setempat.
Hasrat baginda untuk menjejakkan kaki ke Pulau Bohey Dulang iaitu destinasi berikutnya tidak kesampaian kerana keadaan yang tidak berapa mengizinkan waktu itu.
Ini kerana air laut ketika itu sedang surut dan menjadi terlalu cetek. Dikhuatiri, jika bot baginda dan bot pengiring lain mendarat, ia akan merosakkan batu karangnya.
Kelihatan pulau tersebut dari bahagian depan seperti satu bangunan batu yang tersergam indah dengan genangan airnya jernih kebiru-biruan.
Semasa di Pulau Omadal pula, telatah dan gelagat Tuanku yang berjiwa rakyat iaitu mesra dengan sesiapa sahaja terutama kanak-kanak mencuit hati penduduk setempat.
Tuanku turut memberi kata-kata perangsang dan semangat kepada semua anggota PGA yang bertugas di situ.
Dalam pada itu, baginda menyifatkan pengorbanan pasukan keselamatan bertugas di perbatasan bagi menjaga keselamatan negara adalah satu bentuk jihad.
Titah baginda, tugas tersebut amat mulia kerana dengan wujudnya ketenteraman awam rakyat bebas dan selamat melakukan aktiviti harian lebih-lebih pada Hari Raya Aidilfitri.
"Pengorbanan mereka terhadap negara amat disanjungi. Dalam konteks hari ini pengorbanan mereka mempertahankan negara adalah satu bentuk jihad dengan erti kata yang sebenarnya.
"Bukan yang berlaku atas nama agama seperti mengebom mangsa-mangsa yang tidak bersalah, menculik dan membunuh secara rambang yang dibuat di seluruh dunia," titah baginda.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails