Khamis, November 12, 2009

RSD 'penyambung nyawa' operasi


Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR


DALAM operasi Tentera Darat (TD) di sebuah kawasan hutan Lembah Klang minggu lalu, pasukan tempur 33 Alpha yang mengawal sektor barat hutan itu mengalami masalah serius.
Ini kerana tiga anggotanya cedera akibat terkena bedilan peluru musuh dan pasukan itu juga telah kehabisan bekalan perubatan untuk merawat mereka.
Pada masa yang sama, kawasan itu tidak boleh didekati oleh kenderaan bantuan seperti helikopter sementara perhubungan jalan darat ke kawasan operasi telah musnah secara total.
Di kala itu, tiga anggota yang tercedera terus mengerang kesakitan serta tidak mampu bergerak sekalipun jika dipapah.
Keadaan itu jelas merumitkan perjalanan operasi kerana apabila kekuatan sesuatu pasukan berkurangan, mereka perlu berupaya membuat pengunduran taktikal dari medan perang.
33 Markas medan
Menyedari hakikat itu, salah seorang pegawai pasukan 33 Alpha segera menghubungi markas medan yang menggunakan nama panggilan 0 Bravo.
Oleh kerana bantuan tidak boleh dihantar dari luar, 0 Bravo mengambil tindakan mengarahkan pasukan Halo 15 yang berada dalam lingkungan kawasan operasi bagi membantu 33 Alpha.
Salah seorang pegawai 33 Alpha, Kapten (PTS) Mohd. Zurahim Amir Hussin merupakan orang pertama yang bertanggungjawab memulakan komunikasi di atas.
Sebagai Pegawai Trafik Semboyan (PTS), Mohd. Zurahim antara lain perlu mahir berkomunikasi secara tepat, mudah dan ringkas. Ini bagi memastikan musuh tidak dapat memahami mesej yang disampaikan, seterusnya memastikan tahap kerahsiaan operasi tersebut.
Sekiranya beliau mampu menyampaikan mesej dengan baik, sudah tentu bantuan daripada Halo 15 segera tiba, seterusnya memastikan tiga nyawa berupaya diselamatkan.
Namun, tugas Mohd. Zurahim bukan tertakluk kepada kemahiran berkomunikasi semata-mata.
Beliau perlu bekerjasama rapat dengan anggota yang menggalas set radio untuk perhubungan, Lans Koperal Asmaon Yusof.
Kedua-dua individu dari 71 Rejimen Semboyan Diraja (71 RSD) ini boleh dianggap sebagai 'penyambung nyawa' kepada pasukan infantri 33 Alpha dalam operasi di atas.
Ini kerana ketika di dalam hutan, tiada perhubungan lain yang boleh digunakan kecuali kaedah komunikasi menggunakan gelombang radio.
Malahan sekiranya sesuatu peperangan berlaku di bandar, peranan Mohd. Zurahim dan Asmaon sama penting dengan tugas mereka di dalam hutan kerana biasanya sistem telekomunikasi seperti pemancar telah musnah.
Justeru dalam kedua-dua senario itu, talian telefon biasa, telefon bimbit, Internet ataupun surat tidak lagi bermakna. Hanya Mohd. Zurahim, Asmaon, set 'man pack' yang digalasnya serta gelombang radio kini mendominasi komunikasi.
Penolong Pegawai Memerintah 71 RSD, Mejar Mohd. Sazali Md. Desa memberitahu, para petugas semboyan atau lebih dikenali sebagai 'pronto' wajib mempunyai kemahiran seperti membaca dan menghanar kod Morse; membaca dan memproses data analog dan digital serta mahir berkomunikasi dalam bahasa yang mudah dan kod rahsia.
Selain itu, pronto-pronto ini juga perlu berupaya mengoperasikan set gelombang radio serta membaca kedaan muka bumi serta pergerakan angin.
''Jadi, mereka perlu tahu kesemua ini kerana apabila menggunakan set radio, kelajuan angin serta kedudukan 'signal men and women' adalah penting bagi memastikan mereka berada dalam lingkungan gelombang radio yang terbaik," katanya.
Kesemua jurusignal TD mempelajari kemahiran ini di Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (Iked) di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Mohd. Sazali yang hampir 30 tahun berkhidmat dengan Tentera Darat menjelaskan, selain kemahiran anggota, RSD juga banyak bergantung kepada kecanggihan teknologi.
Seperti contoh, katanya, penggunaan kenderaan pelbagai permukaan (ATV) berunut Hagglund yang dikelolakan rejimen berkenaan.
Antara keupayaannya ialah menyambungkan kemudahan Internet, faksimili dan telefon ke markas medan sejauh 60 sehingga 100 kilometer dari sesebuah kawasan operasi.
Keupayaan teknologi
Pada masa lalu, sistem komunikasi termasuk yang digunakan TD adalah dalam bentuk analog namun semenjak 1996, RSD mula beralih kepada perolehan peralatan digital.
Menurut Ketua Pegawai Semboyan RSD, Brigedier Jeneral Datuk Noordin Mohd. Yusoff, cabaran utama yang dihadapinya adalah memastikan modal insan dalam RSD berada pada tahap terbaik selari dengan perolehan aset-aset baru berteknologi tinggi.
Sebagai 'orang nombor satu' RSD, pastinya tanggungjawab itu tidak dipandang mudah.
Dengan penggunaan tahap kemasukan minimum ke TD dinaikkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya, terdapat ramai juga lepasan Pendidikan Menengah Rendah (PMR) yang menganggotai ketumbukan itu.
Justeru, jelas beliau, keadaan itu menyerlahkan perbezaan kemahiran di antara dua kelompok berkenaan.
''Perbezaan kemahiran kelompok sumber manusia yang berlainan ini memberikan cabaran buat kami menyediakan anggota berkemahiran tinggi, namun, ini semua diselesaikan apabila mereka menghadiri kursus-kursus wajib serta sampingan di Iked," jelasnya.
Sekiranya ini tidak ditangani, mampukah RSD menyediakan komunikasi taktikal menggunakan perhubungan radio satu aangkaian, pelbagai rangkaian atau berjalur lebar?
Siapakah pula yang akan menggerakkan Hagglund, sistem telefon medan dan mengendali sistem peperangan elektronik negara?
Perkembangan teknologi global jika dapat diselarikan dengan visi dan misi pasukan merupakan satu kemenangan buat mana-mana ketumbukan tentera. Namun jika kita tercicir, keselamatan dan kemakmuran negara terancam.
Apatah lagi dengan tanggungjawab sebagai peneraju memajukan operasi atau peperangan berlandaskan rangkaian (network centric warfare dan network centric operation), tugas Noordin dan RSD ibarat tiada berpenghujung.
Peruntukan RM1.9 bilion untuk Kementerian Pertahanan melalui Bajet 2010 dilihat terlalu kecil bagi perkembangan teknologi dan komunikasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kesulitan ini ditambah dengan keperluan TD mendapatkan kenderaan perisai baru; kepentingan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapatkan Eurocopter EC-725 dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggantikan KD Seri Inderapura yang terbakar bulan lalu.
Di samping itu, haruskah atau selamatkah sekiranya sistem telekomunikasi TD diselenggara oleh hanya sebuah syarikat swasta Sapura Telecommunications Berhad?
Semua ini perlu diambil kira menjelang ulang tahun penubuhan RSD ke-57 pada 15 November ini.
Selamat Hari Ulang Tahun buat hampir 7,000 warga RSD yang sedang berkhidmat dan tentunya kepada ribuan lagi veteran pronto seluruh negara.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails